Sunday, 16 December 2012

KECIL? Jangan pandang enteng.



Membaca entri sahabat saya Nurhida, berkenaan liqo’ kami bersama penasihat menyuntik rasa untuk saya menulis juga tentang tazkirah daripada sahabat penasihat kami (Ustaz Muhammad Adib Samsudin) iaitu Ustaz Azmil Zainol Abidin. Meski ustaz punya kekangan waktu untuk menghadiri suatu acara yang lebih penting, namun masih tidak lokek untuk memberi kami butiran-butiran ilmu.

 Usaha dan Ikhtiar 

Dalam ustaz menghuraikan hadis ke empat daripada kitab ‘Arba’in Nawawiah tentang penciptaan manusia, ustaz menekankan berkaitan :

 ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ آَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَاللهِ الَّذِي لا إلهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا


Kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalanya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentutan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga. (hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam al-Muslim).


Dalam memahami ungkapan daripada hadis ini jangan kita menilai seperti golongan Jabariyyah menilai, di mana mereka berpendapat secara ringkasnya bahawa Allah menciptakan hamba dengan perbuatannya bermaksud dia dipaksa melakukan perbuatannya dan tidak bebas memilih. Seolah-olah hidup yang tiada ruang untuk memilih dan berusaha ibarat bulu yang diterbangkan angin kemana sahaja.


Hakikatnya yang dicatatkan malaikat itu adalah ilmu-ilmu Allah yang tersangatlah luas di Luh Mahfuz, bukanlah sifat kudrat Allah untuk memaksa manusia mengikut takdir. Sesungguhnya manusia itu mempunyai usaha dan pilihan dalam setiap perbuatannya, lalu manusia dinilai atau dihisab berdasarkan pilihan dan usaha yang dilakukannya.


Kecil, tapi jangan pandang ringan 


Oleh kerana Allah itu Maha Melihat janganlah kita tertipu dengan amalan baik kita. Jangan kita lupa bahwasanya amalan taat atau pilihan kita untuk berbuat ketaatan itu lahir daripada kekuatan yang datangnya daripada Allah S.W.T.


Walaupun kita terkadang melihat seseorang muslim ini bagaikan sudah hampir sehingga sejengkal sahaja dengan neraka oleh sebab amalan dan perbuatan buruknya, namun jangan berputus asa dengan rahmat Allah kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada penghujungnya. Semua itu hanya dalam pengetahuan Allah S.W.T. Janganlah pernah rasa berputus asa sekiranya hidup kita selama ini seolah-olah hanya dipenuhi dengan dosa. Selagi roh masih dijasad, kita masih diberi peluang untuk berusaha dan memilih jalan yang lurus menuju ke syurga Allah.

Allah berfirman yang bermaksud : Wahai anak-anakku! pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir". (Surah Yusuf ayat 87)

Ketahuilah,

Dosa yang kelihatan kecil dan biasa-biasa sahaja tidak boleh dipandang ringan begitu sahaja kerana di situ mungkin terdapat murka Allah yang besar padaNya.

Amalan soleh yang sedikit jangan dipandang ringan dan enteng kerana kita tidak tahu mungkin di sana terdapat redha dan pandangan rahmat Allah yang besar.

Kita tidak diciptakan sia-sia 

Kehidupan buat manusia itu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Mukminun ayat115-116 :
  
Maksudnya : Maka Adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?". Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah yang Menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.
 

Tidaklah kita diciptakan Allah untuk sesuatu yang sia-sia kerana kita diciptakan Allah untuk menjadi hamba kepadaNya. Semaklah diri kita sudah sejauh mana kita menjadi hamba dalam setiap perbuatan, percakapan dan segalanya yang kita diberi ruang dan peluang untuk berusaha serta memilih.

Usaha dan pilihlah untuk menjadi hamba kerana kepada Pencipta juga pengembalian kita kelak.

Nasihat 

Ustaz tidak lupa berpesan, sentiasalah berdoa kepada Allah, 

Ya Rabb, oleh kerana ketaatan ini datang daripada kekuatan yang Engkau kirimkan, kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk istiqamah dalam ketaatan.

Allahumma Amiin.

Janganlah kita lupa, dalam menjalani kehidupan bebaskanlah diri kita daripada zon selesa agar hati tidak hanya memikirkan keseronokkan.

Semoga Allah berikan kita kekuatan untuk terus berada dalam ketaatan. Amiin Ya Rabb.


 Tazkirah ustaz Adib dan ustaz Azmil pada liqo' bersama penasihat pada bulan 10

~1612121149berjalan tanpa henti~

No comments:

Post a Comment