Wednesday, 26 June 2013

Dilema Bakal Graduan


Dah tahun berapa sekarang?

      Tahun 3.

Tahun akhir?

      Ya.

Wah, seronoknya dah nak habis belajar. Apa perancangan lepas ni?

Lepas grad nak sambung master ke?

Nak kerja di mana lepas ni?

Habis belajar ni nak kahwin ke?

xxx Soalan-soalan yang kebiasaannya singgah ditelinga pelajar tahun akhir xxx

Master, Kahwin dan Kerja~

Dilemanya, yang manakah mahu di dahulukan?





      Rezeki mendatang buat saya dan sahabat-sahabat menambah ilmu dan persediaan untuk menghadapi kehidupan selepas bergelar graduan apabila  MURSYID menganjurkan satu Majlis Diskusi Hala Tuju anjuran  pada 12 Mei 2013 di UIA, Gombak. Majlis ini sarat dengan ilmu dan tips untuk menghadapi kehidupan selepas garduasi. Majlis ini diisi utaian nasihat dan panduan oleh Ust Zahazan, Dr. Zaharuddin dan Ust Ramadhan Fitri.

     Peluang ini kami garap untuk mengambil bekal-bekal nasihat agar mampu menjadi pedoman untuk mencorak masa hadapan masing-masing. Antara hal yang dikongsikan adalah perihal niat yakni fokus kita dalam melakukan sesuatu. Dalam apa jua perkara yang kita lakukan haruslah dipasakkan dalam hati ia semata-mata kerana Allah. Ini perkara yang paling penting kerana ia akan menjadi matlamat yang dikejar dalam kita mencapai sesuatu hal. Oleh sebab kehidupan ini adalah peperiksaan yang akan disemak di akhirat kelak, maka berhati-hati dalam membentangkan jawapan. Andai jawapan itu seperti mana yang diarahkan Allah maka insha Allah baik  juga markahnya kelak. Apabila Allah yang menjadi tujuan, insha Allah segala kesusahan dan kepayahan dalam kehidupan akan kita hadapi dengan tenang.

       Antara lain, pesan ustaz semaklah kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Cari di mana kekuatan dan kelemahan kita. Kekuatan itu digunakan dengan baik pada tempat yang sepatutnya dan kelemahan itu usah dibiarkan terus lesu begitu. Namun kelemahan itu perlu diperbaiki perlahan-lahan, moga suatu hari ia juga akan menjadi salah satu kekuatan kita.

    Majlis  Diskusi ini membuatkan saya memberi kesimpulan ringkas bahawa dalam persiapan menghadapi kehidupan yang lebih mencabar kita perlu mengukur kemampuan kita dalam melaksanakan setiap pilihan yang kita buat. Andai kata wujud kekurangan yang kecil pada kemampuan itu, insha Allah ia tidak menjejaskan dan boleh di atasi secara perlahan-lahan. Namun jika sememangnya tiada kemampuan untuk melakukan sesuatu hal, maka elakkanlah sehingga kita yakin mampu melaksanakannya.

       Master,Kerja atau Kahwin? atau semuanya? ^_^ Ketiga-tiganya sarat dengan manfaat masing-masing. Untuk memilih lihatlah pada kemampuan diri masing-masing. Hakikatnya ketiga-ketiga mampu dicapai tetapi memerlukan kesabaran. Buatlah penilaian sebaik mungkin semoga tiada timbul kekesalan dikemudian hari. Apabila kita mengambil sebarang keputusan janganlah kerana mengikut kawan-kawan kerana adakalanya mereka mampu untuk mengambil keputusan sedemikian tetapi tidak bagi pihak kita.

        Teringat akan pesan pendidik saya, dalam apa jua perkara yang kamu lakukan ingat akan tiga perkara ini. Pertama, Bertaqwalah kepada Allah. Taqwa akan membawa kita menggapai redhaNya. Kedua, Amanah dalam setiap perkara. Usaha mendidik sifat ini salah satunya dengan sentiasa merasakan bahawa Allah itu melihat kita setiap saat tanpa henti. Maha Suci Allah dari leka terhadap hamba-hambaNya. Ketiga, Sentiasalah memudahkan urusan orang lain kerana Allah. Apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita insha Allah.

        Dengan Bismillah ayuh membuat penilaian dengan sebaik mungkin. Namun ingat, jangan tinggalkan istikharah apabila sudah istisharah dan jangan pula hanya istikharah tanpa istisharah. Padukan keduanya, supaya keputusan dan pilihan kita tidak disandar hanya pada kehendak dan keinginan kita mahupun orang lain. Semoga setiap pilihan kita itu ada redha Allah padanya. Master, Kerja dan Kahwin ketiga-tiganya mampu dicapai dengan berusaha bersama pengharapan kepada Allah.

         Tadbirkan kehidupan sebaik mungkin yang kita mampu dengan meletakkan pengharapan kejayaan hanya pada Allah. Namun, jangan pernah kita lupa bahawa kadang kala takdir itu mengatasi tadbir. Tatkala itu, redhalah kerna Allah tidak pernah melakukan segala sesuatu itu sia-sia.

Walau apa jua, redha Allah adalah matlamatnya!




:: Sekalung tahniah buat semua sahabat-sahabat tahun akhir UKM, terutamanya sahabat-sahabat Jabatan Syariah. Semoga langkah kaki kita keluar dari pembukitan ilmu ini membawa bersama tanggungjawab untuk berkhidmat buat umat. Kalau tidak bisa kelompok besar, kita usahakan kelompok kecil. Kalau tidak bisa dengan kata-kata, kita aturkan dengan penulisan. Apa penting kita usahakan semampunya. Nasihat ini, pertama dan utamanya saya tujukan buat diri saya sendiri. Semoga Allah redha. ::

~Ya Rabb, kurniakan kami kekuatan untuk melaksanakan ketaatan dan untuk terus istiqamah dalam melaksanakannya...ameen~

...berjalantanpahenti...
-jauharah al-shiffa'-
         



No comments:

Post a Comment