Batrisyia bersantai di pondok buatan abahnya berdekatan dengan sawah padi. Petang itu sungguh damai, angin menyapa lembut bagaikan membawa kebahagian. Subhanallah sugguh tenang!
Pandangannya pergi jauh merentas kehijauan sawah yang terbentang luas, bagai mengimbau memori semalam.
"Along...! Along...!"
Lamunan Batrisyia tersentak dengan panggilan abahnya, En.Fadzly. Pada Batrisyia, lelaki yang sering mengaku dirinya biasa-biasa itu punya hati yang luar biasa.
"Ye abah."
"Jauh memandang, berangan ye long? "Usik abahnya yang sememangnya rapat dengan anak-anak.
"Haish! Abah ni. Tak ada lah, along suka tengok pemandangan macam ni. Tenang! Maha Suci Tuhan yang menciptakan seluruh alam semesta. Subhanallah... tiada tandingan."
Abah senyum mendengarnya. Senyum penuh syukur anaknya mampu memandang alam bukan sekadar alam, tetapi melihat juga besarnya kuasa yang menciptakan alam.
"Kenapa abah panggil along ni?"
"Tak ada apa. Sajalah abah nak borak dengan puteri sulung abah ni." luah abah sambil duduk disebelah anaknya. Lebar senyuman Batrisyia mendengar penyataan abahnya sambil merangkul tangan kanan abahnya ke dalam pelukan.
"Abah..."
"Ya..."
"Macam mana nak cakap ye..."
"Hai, dah nk cakap pun tak tau? Habis kamu tengah makan ke tu?" Usik abah sambil ketawa.
"Abah ni! tak la, along nk cakap sesuatu ni."
"Apa? Cakap la..."
"Tak apa lah, nanti la along beritahu abah." tak mampu Batrisyia keluarkan luahan rasanya, mungkin kerana malu terlalu menebal.
Sudah lama dia tidak menyatakan perasaan itu. Sejak membesar, tiada lagi kata-kata itu bermain dibibir seperti zaman kanak-kanak dulu. Mungkin kerana sudah terlalu lama ia tersimpan, semakin sukar untuk dikeluarkan. "Aaargh, tak boleh...kenapa Batrisyia? Mudah je kot. Cakap je la. Dah lama tak cakap macam tu, malu la.." Batrisyia bermonolog dalam hatinya.
Abahnya memang tidak akan memaksa meski sudah mendengar kepala cerita. Seringkali Batrisyia buat begitu, tidak pernah abah memaksa Batrisyia meneruskan kata tanpa rela. Batrisyia terlalu menyayangi lelaki itu, penyabar, memahami, pendidik yang setia, peneman dikala suka dan duka. Sungguh, dia abah yang hebat!
"Along. Sekarang along dah 15 tahun. Dah besar puteri abah ni. Along ingat pesan abah, jaga hubungan along dengan Allah. Jangan pernah along lupakan itu untuk berjaya dunia dan akhirat. Kita tak hidup kekal di sini along. Kita akan menghadapi kehidupan kedua, kehidupan di alam akhirat. Kehidupan yang nyata. Di situlah kehidupan yang sebenarnya, bahagia atau tidak kita di sana bergantung kepada usaha kita meraih redha Allah di sini." Pesan abah sambil memandang jauh ke sawah padi.
Nasihat ini sering abah ulang-ulang ke telinga anak-anaknya supaya tidak pernah lupa bahawa hidup harus bermatlamatkan akhirat dan mengejar redha Allah. Batrisyia mendengar dengan penuh setia walau itu entah untuk kali ke berapa abahnya mengulangkan nasihat yang sama.
"Along, nanti bila abah sudah menyahut seruan Ilahi, jangan putus cinta dan bakti ya!" Pesan abah lagi.
"Ha? maksud abah?" berkerut dahi Batrisyia memahami buah butir kata-kata abahnya.
Senyum diukir kata disusun penuh makna " Suatu hari, apabila sampai masa abah perlu kembali kepada yang Hak, along jangan putus cinta dan bakti pada abah. Maksud abah, jangan pernah along lupa doakan abah, mohon Allah ampunkan dosa-dosa abah, buatlah perkara-perkara yang boleh menyambung bakti along pada abah meski abah sudah pergi dulu." Belum sempat Batrisyia mencelah, abahnya menambah "Berpisah kita mungkin pada mata, tetapi tidak pada kasih dan bakti nak. Janji dengan abah untuk setia. boleh?" senyum abahnya. En.Fadzly memang sungguh mesra dengan anak-anaknya.
"Abah ni, jangan la buat along sedih."
"Apa yang nak disedihkan? kan sekarang abah masih ada dan bila abah sudah tiada nanti jangan disedihkan. Doakan abah. Abah tak minta air mata, yang abah harap cuma doa, sebab telah Rasulullah SAW pesan bahawa antara perkara yang tidak terputus dengan orang yang meninggal dunia adalah doa anak yang soleh." tutur abah penuh harapan.
"Insha Allah abah, along akan ingat sampai bila-bila pun. Berpisah pada mata tapi tidak pada bakti dan doa" diulang kata-kata abahnya menandakan dia benar-benar memahami nasihat itu.
"Abah..."
"Ya..."
"Urm...tak apalah. Jom masuk, dah nak maghrib ni." Masih terlekat luahan rasa itu dikerongkongnya.
Tiba-tiba kedengaran suara lembut menyapa, "Ummi! Ummi!" Hah! kali ini lamunannya benar-benar tersentak dek sapaan anak sulungnya.
"Abi panggil masuk."
"Ya Shiffa', terima kasih panggil ummi" sapanya lembut menghargai anaknya.
Jauh Batrisyia memandang sambil mengenang memori 10 tahun dulu. Pada tahun itu juga abahnya menyahut janji pulang menghadap Ilahi. Nasihat itu tidak pernah dia lupa, malah disampaikan pula kepada anak-anaknya.
"Abah, hari ini tidak mahu lagi along simpan kata-kata ini. Sungguh, along mencintai dan menyayangi abah kerana Allah!" berderai air matanya. Dia kesal kerana tidak membuang malu yang menebalkan untuk mengeluarkan kata-kata itu. Dia tahu, cinta dan sayang bukanlah sekadar pada sebuah kata-kata. Namun dia juga sedar bahawa cinta dan kasih sayang yang dizahirkan dengan perbuatan dan sifat ditambah pula dengan luahan kata-kata, ia jauh lebih bermakna.
Air mata dikesat, langkah diatur memasuki rumah sambil berbicara dalam hatinya "Hidup harus diteruskan meski abah tiada di sisi. Namun, didikan yang abah berikan membuatkan aku terus kuat untuk melangkah. Melangkah mengejar redha Ilahi. Abah, aku akan terus setia menjalin cinta dan bakti
pada setiap bait-bait doa serta amalan yang boleh membuatkan aku berbakti kepadamu meski engkau harus pergi dulu."
................................................................................................................................................
Dalam sebuah hadis Malik bin Rabi'ah al-Sa'idi melaporkan:
"Ketika kami bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki dari Bani Sulaim datang bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, adakah ada sesuatu yang aku boleh lakukan untuk menyambung bakti kepada kedua ibu bapaku selepas mereka meninggal dunia?" Baginda menjawab: "Ya. Doakan mereka, mohonlah keampunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, hormatilah sahabat mereka dan sambunglah tali persaudaraan yang tidak bersambung melainkan dengan keduanya." (Sunan Ibnu Majah)
Inilah antara amalan yang mampu kita lakukan untuk terus menyambung bakti membuktikan kasih dan cinta. Amalan-amalan ini dapat mengalirkan pahala dan menebus dosa-dosa mereka. Sesungguhnya daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang lelaki akan diangkat darjatnya di syurga. Maka dia bertanya: "Bagaimana aku boleh berada di sini?" Maka dijawab: "Dengan doa permohonan keampunan oleh anakmu untuk dirimu." (Sunan Ibnu Majah)
Ibu bapa tidak mengharap budi mereka dibalas kerana itu sudah menjadi tanggungjwab mereka membesarkan anak-anak. Namun, sebagai anak, kita juga harus ingat bahawa kita harus menyambung bakti meski mereka sudah pergi. Berpisah di dunia tapi tidak pada cinta dan bakti. Ayuhlah kita membiasakan diri melafazkan rasa cinta, bukan untuk mengada-ngada, tetapi salah satu cara menghargai kasih sayang mereka. Jangan biar kehilangan melahirkan lafaz yang tersimpan.
**cerpen ini sekadar sebuah nasihat buat diri ini dan kita semua, nama watak adalah rekaan semata-mata... ^_^ al-fatihah buat L/Kpl 70417 Muhammad Hilmi Hj Mahmud
:: Sesungguhnya setiap hari itu adalah hari menyayangi Ibu Bapa~ Selamat hari 'bapa' Mak! hehe... sebab selama abah pergi, mak la abah dan mak adik (^^,) .... Abah, sungguh kita harus berpisah di dunia, namun adik akan terus setia menyemai bakti menyulam cinta pada amalan dan doa.. Semoga Allah terima dan redha. Abah! adik cinta abah kerana Allah~ :') ::
~berjalantanpahenti~
-jauharah al-shiffa'-
Sedih baca...teringat kat arwah abah...rindu sangat....
ReplyDelete:') semoga rindu kita terubat dgn doa2...smoga Allah sntiasa merahmati abah dan mengampunkan segala dosa-dosanya... ameen :)
Delete