Menangislah!
Terapi hati, jangan biarkan ia mati.
Duhai diri,
Tahukah kita apa itu tangisan?
Ada apa pada sebuah tangisan?
Menangis boleh mendapatkan habuan?
Atau sekadar menghilangkan kesedihan?
Duhai diri,
Ketahuilah,
Menangis bukan sahaja menghilangkan kesedihan,
Menangis juga bisa meredakan kemarahan,

Menangis membuahkan rasa kehambaan.
Duhai diri,
Ingatilah,
Menangis bukan hanya tatkala kesedihan,
Bukan hanya ketika menghadapi tekanan,
Bukan juga kerana sebuah kehilangan.
Menangis juga perlu untuk melahirkan rasa kekesalan,
Kekesalan terhadap segala dosa kepada Tuhan,
Dosa yang tidak mampu dinilai dengan kiraan,
Kerana sering lalai dengan keduniaan.
Menangis juga perlu untuk meredakan kemarahan,
Agar tidak tehambur kata-kata celaan,
Agar tidak memenangkan syaitan yang memberi dorongan,
Tangisan itu sebenarnya kesabaran,
Kesabaran kepada sebuah kemarahan.
Menangis juga perlu untuk melahirkan rasa kesyukuran,
Kesyukuran atas nikmat Allah yang tiada bandingan,
Nikmat yang sering membahagiakan.
Menangis itu melahirkan nilai kehambaan,
mengingatkan kita bahawa kehidupan ini adalah perjalanan,
perjalanan menuju kepada Tuhan.
Tahulah olehmu diri,
Manusia hidupnya tiada mampu menongkat langit dan awan,
Kerana akhirnya kita akan menghadapi sebuah kepastian,
Kepastian yang tiada kenafian,
Yakni menghadapi sebuah kematian.
Oleh itu, masihkah kita mampu angkuh kepada Tuhan?
Duhai diri,
Menangislah kerana sedar bahawa kita cuma hamba,
Hamba kepada Allah Yang Maha Esa,
Menangislah kerana mengingatiNya,
Menangis jugalah kerana takut kepadaNya,
Manusia termulia juga menangis tatkala mendengar kalam Sang Pencipta,
Apatah lagi kita yang cuma insan biasa.
Duhai diri,
Jangan menangis untuk sesuatu yang sia-sia,
Aliran air mata itu kerana Dia,
Meski apa jua sebabnya,
Sedih, tertekan, marah, syukur, takut dan walau apa jua rasa,
Pastikan air itu cuma mengalir kerana Allah Yang Maha Esa.
Duhai diri,
Moga kini kita bisa memahami,
Bahawa menangis itu suatu terapi,
Ia mampu melembutkan hati,
Ia mampu menenangkan diri,
Ia mampu mengukir senyuman pada diri yang teruji,
Maka menangislah!
Kerana ia membuatkan kita dekat dengan Ilahi,
Dan bersyukurlah!
Kerana tangisan itu mengingatkan bahawa diri ini cuma abdi,
Abdi kepada Tuhan Yang Maha Tinggi!
~berjalan tanpa henti~
-jauharah al-shiffa'-
No comments:
Post a Comment