Persekitaran menggambarkan pelbagai makna. Orang-orang yang terkadang
kita lihat mereka seperti biasa, tidak punya sijil yang bergulung, tidak pula
gaji yang berkepuk-kepuk, lagilah tidak pumya kereta atau rumah yang mewah.
Namun, jika didekati mereka sebenarnya seorang yang luar biasa dan mampu
memberikan didikan hanya dengan berkongsi rasa.
Luar biasa hatinya.
Kepenatan saya pulang dari kuliah di ubat oleh positifnya seorang wanita
tua.
“Mak cik, tak letih ke dah berusia begini
masih bekerja seperti orang muda?” sapa saya membina kemesraan.
Sambil tersenyum wanita itu menjawab sapaan
saya “Tidak nak, mak cik suka buat kerja ni, mak cik bersihkan kawasan
anak-anak yang menuntut ilmu, mak cik selesakan anak-anak yang hendak belajar,
mak cik rasa senang dengan semua ni. Bukankah ini juga satu ibadah? Kerja-kerja
sebegini yang membuatkan mak cik menggunakan tenaga kurniaan Allah dengan
sebaik mungkin. Mak cik sangat berharap semoga semua ini menjadi ibadah mak cik
kepada Allah. Sekurang-kurangnya, di sana nanti mak cik ada jawapan ke mana
perginya kudrat pinjaman Allah kepada mak cik”
“Mak cik tahu diusia sebegini mak cik lebih elok rehat di rumah. Tapi
nak, mak cik juga tahu kerja mak cik bukan sesuatu yang sia-sia. ” Dia menambah
tanpa saya meminta.
“Masya Allah! Hebatnya perasaan mak cik. Bagaimana mak cik pupuk rasa
begitu?”
“Ikhlaskan hati kerana Allah” ringkas jawapannya tapi penuh makna.
Vroooom……
Lintas sebuah kenderaan mewah di hadapan kami, yang kelihatan tuannya
seperti orang berpangkat tinggi.
Kelihatan beberapa helai tisu dan kulit-kulit kekacang dilepaskan melalui
tingkap tanpa teragak-agak.
Saya hilang kata-kata dan berpaling melihat wajah wanita tua itu.
Senyum dilebarkan, jelas bahagia kelihatan
diwajah tua ini meski keringatnya semakin dimamah usia, seolah-olah kejadian
yang berlaku dihadapan kami tidak memberi kesan apa-apa kepada dirinya.
Kerana Allah
“Anak, setiap yang ada pada kita cuma
pinjaman daripada Allah S.W.T, gunakanlah ia sebaik dan semampunya. Jangan dibazirkan
pada sesuatu yang sia-sia. Anak sebagai pelajar, belajarlah kerana Allah insya
Allah ia adalah ibadah yang penuh berkat. Letih sedikit-sedikit itu biasa,
jangan cepat berputus asa. Kelak anak bekerja, kerjalah kerana Allah, meski
kita berpangkat besar, bergaji tebal, berkereta dan berumah mewah, insya Allah
kita tidak takbur, hati tidak riak, diri tidak bongkak, amalan juga tidak akan
melebur begitu sahaja.”
“Lakukan semuanya kerana Allah. Apabila terpatri
di dalam hati semuanya kerana Allah, biarpun mak cik harus berdepan dengan
keadaan sebegini (perbuatan tadi), itu semua tidak menjejaskan mak cik, mahu
marah pun tidak nak…mak cik lakukan ini kerana Allah, bukan kerana siapa-siapa.
Baiklah, mak cik pergi dulu, kerja mak cik menanti di sana” Dia tinggalkan saya
dengan kata-kata yang penuh makna sambil menghala ke arah sampah yang dibuang
tadi untuk dibersihkan.
Saya rasa bagai dihembus suatu semangat
baru. Wanita tua ini memandang kerjanya sebagai suatu yang menyenangkan kerana
dengan itu dia mampu menyenangkan hati orang lain. Malah, dia sangat memikirkan
ke mana pergi kudrat kurniaan Allah kepadanya dan mengharapkan semoga kudrat
itu dilaburkan kepada hal yang membuahkan ibadah kepada Allah.
Kita sering lupa bahawa ibadah bukan hanya solat,
puasa, zakat dan pekara yang seangkatan dengannya. Namun, setiap hal yang kita
lakukan kerana Allah itu semuanya adalah ibadah. Kesungguhan dan keikhlasan
wanita tua itu menyedarkan saya bahawa belajar juga boleh menjadi satu ibadah,
tapi kita harus ikhlas dan laksanakannya semata-mata kerana Allah. Apabila
wujud perasan sebegitu, lelah pasti hilang dengan sendiri, keluhan pasti tiada
kedengaran, sabar datang seiring ujian yang kunjung tiba, masih mampu tersenyum
meski pelbagai masalah sarat dikepala.
Allahu Rabbi… hebat! saya mula membaca
kehidupan. Nah! saya yang tadi keletihan bagai disiramkan air yang kembali
menyegarkan sendi-sendi dan urat saraf saya. Diri rasa terpanah dengan
positifnya jiwa wanita ini. Wanita tua, seorang tukang cuci di kolej kediaman
pelajar, kelihatan biasa bukan? Namun pandangan dan hatinya cukup luar biasa.
Biar siapa pun anda, laksanalah setiap
pekerjaan kerana Allah. Insya Allah ia bakal menjadi ibadah kita kepadaNya.
Nota : Muhasabah buat diri saya yang sering leka, perbaharui
niat… lakukan semuanya kerana Allah, semoga beroleh berkah. . Setiap perkara
yang dilakukan dengan qasad hanya kerana Allah maka ia akan menjadi ibadah.
Meski perkara itu kita lakukan kerana disuruh Allah dan perkara itu kita
tinggalkan kerana dilarang Allah maka apabila ia kerana Allah insya Allah
ibadahlah perbuatan tersebut.
~1612121059berjalan tanpa henti~
No comments:
Post a Comment