Sunday, 16 December 2012

KECIL? Jangan pandang enteng.



Membaca entri sahabat saya Nurhida, berkenaan liqo’ kami bersama penasihat menyuntik rasa untuk saya menulis juga tentang tazkirah daripada sahabat penasihat kami (Ustaz Muhammad Adib Samsudin) iaitu Ustaz Azmil Zainol Abidin. Meski ustaz punya kekangan waktu untuk menghadiri suatu acara yang lebih penting, namun masih tidak lokek untuk memberi kami butiran-butiran ilmu.

 Usaha dan Ikhtiar 

Dalam ustaz menghuraikan hadis ke empat daripada kitab ‘Arba’in Nawawiah tentang penciptaan manusia, ustaz menekankan berkaitan :

 ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ آَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَاللهِ الَّذِي لا إلهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا


Kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalanya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentutan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga. (hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam al-Muslim).


Dalam memahami ungkapan daripada hadis ini jangan kita menilai seperti golongan Jabariyyah menilai, di mana mereka berpendapat secara ringkasnya bahawa Allah menciptakan hamba dengan perbuatannya bermaksud dia dipaksa melakukan perbuatannya dan tidak bebas memilih. Seolah-olah hidup yang tiada ruang untuk memilih dan berusaha ibarat bulu yang diterbangkan angin kemana sahaja.


Hakikatnya yang dicatatkan malaikat itu adalah ilmu-ilmu Allah yang tersangatlah luas di Luh Mahfuz, bukanlah sifat kudrat Allah untuk memaksa manusia mengikut takdir. Sesungguhnya manusia itu mempunyai usaha dan pilihan dalam setiap perbuatannya, lalu manusia dinilai atau dihisab berdasarkan pilihan dan usaha yang dilakukannya.

Dia Luar Biasa…




Persekitaran menggambarkan pelbagai makna. Orang-orang yang terkadang kita lihat mereka seperti biasa, tidak punya sijil yang bergulung, tidak pula gaji yang berkepuk-kepuk, lagilah tidak pumya kereta atau rumah yang mewah. Namun, jika didekati mereka sebenarnya seorang yang luar biasa dan mampu memberikan didikan hanya dengan berkongsi rasa.



Luar biasa hatinya.

Kepenatan saya pulang dari kuliah di ubat oleh positifnya seorang wanita tua.

“Mak cik, tak letih ke dah berusia begini masih bekerja seperti orang muda?” sapa saya membina kemesraan.

Sambil tersenyum wanita itu menjawab sapaan saya “Tidak nak, mak cik suka buat kerja ni, mak cik bersihkan kawasan anak-anak yang menuntut ilmu, mak cik selesakan anak-anak yang hendak belajar, mak cik rasa senang dengan semua ni. Bukankah ini juga satu ibadah? Kerja-kerja sebegini yang membuatkan mak cik menggunakan tenaga kurniaan Allah dengan sebaik mungkin. Mak cik sangat berharap semoga semua ini menjadi ibadah mak cik kepada Allah. Sekurang-kurangnya, di sana nanti mak cik ada jawapan ke mana perginya kudrat pinjaman Allah kepada mak cik”

“Mak cik tahu diusia sebegini mak cik lebih elok rehat di rumah. Tapi nak, mak cik juga tahu kerja mak cik bukan sesuatu yang sia-sia. ” Dia menambah tanpa saya meminta.

“Masya Allah! Hebatnya perasaan mak cik. Bagaimana mak cik pupuk rasa begitu?”

“Ikhlaskan hati kerana Allah” ringkas jawapannya tapi penuh makna.