Sunday, 5 January 2014

Terikat kukuh...


2013 ditinggalkan dengan penuh kenangan. Biar pahit atau manis, semuanya adalah pedoman dan panduan buat kita dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Melangkah menuju ke tahun baru masihi menandakan kita semakin dekat dengan sebuah kepastian yakni kematian yang tiada penafian. Justeru, tingakatkan amalan, jauhi larangan, terus berusaha mengejar redha Allah agar kita dijemput kelak dalam keadaan husnul khatimah.

       Bulan Disember antara bulan yang dipilih kebanyakan keluarga untuk berkumpul dan mengeratkan ukhwah sesama mereka. Begitu juga kami yang tidak membiarkan bulan ini pergi berlalu dengan kekosongan. Teratak kecil bonda kami padatkan dengan nasihat, gelak tawa, pergaduhan manja, sesi masak-memasak sehingga pening dalam gembira bonda dibuatnya. :) Terasa begitu cepat sebulan itu berlalu dengan menghimpunkan lagi kenangan dalam memori kami bersama.

       Terasa bagaikan semalam kita berkumpul lagi, bergelak tawa, berkongsi nasihat dan pendapat, bergaduh pun ada jugak... :) Namun begitu cepat masa berlalu pergi. Kita dipaksa masa untuk pulang menghadap tanggungjawab yang digalas. Biar berjauhan tapi jangan pernah kita terputus dalam rantaian doa. Semoga kalian semuanya dalam peliharaan Allah.. :')

Saudaraku,

Kita ibarat sebuah bulatan,
yang saling menyokong antara satu sama lain,
satu susah semua terasa pedihnya,
satu senang semua terasa gembiranya,

Kita ibarat harta mak abah,
harta yang tiada dijual dimana-mana,
untuk menjadi sambungan pahala mereka,
tatkala pergi meninggalkan dunia,

Kita ibarat himpunan lidi yang terikat,
diikat ketat dengan hubungan darah yang tiada putusnya,
bersatu kita dilimpah berkah,
bercerai kita adalah padah.

Kita adalah keluarga,
yang saling menasihati pada jalan kebaikan,
yang saling mengingatkan menjauhi larangan,
yang saling mendoakan biarpun berjauhan.

Semua itu kerana kita mengimpikan keredhaan Tuhan,
kita mendambakan sebuah keindahan,
Keindahan berkumpul di syurga penuh kenikmatan.


yang selalu menyayangi kalian kerana Allah,
                             adik




::berjalan tanpa henti::
jauhrahalshiffa'

Monday, 25 November 2013

Usah Calarkan Hari Bahagiamu...

Apabila musim cuti sekolah bermula, maka bertandanglah kad jemputan walimah sahabat2, sanak saudara dan jiran2. Yeaa!~ sesi menggantung periuk pun bermula hehe ^^, ... Cuba sedaya upaya untuk menghadiri jemputan yang ada, jika ada aral, doa tidak lupa kami sekeluarga titipkan buat para mempelai.

~barakallahulakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’a bainakuma fi khair~



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



:: Usah calarkan hari bahagiamu ::

Akahwatku,

Ingatan ini kucoretkan buat diriku dan dirimu,
Agar kita sentiasa saling ingat mengingatkan,
Menuju jalan menggapai keredhaan Tuhan.

Akahwatku,

Menyentuh fenomena di hari perkahwinan,
Semua mempelai ingin kelihatan menawan,
Groom tampil segak lagi tampan,
Bride ayu dengan kuntuman senyuman.

Namun,
Ada hal yang membimbangkan,
Yakni apabila pengantin perempuan tewas dengan perhiasan,
Bukanlah berhias itu menjadi larangan,
Tapi sederhana itu adalah menyelamatkan,
Bukankah perhiasan melampau itu suatu kesalahan?
Ia boleh mengheret kepada tabarruj di hari perkahwinan,
Menarik perhatian lelaki ajnabi kepada pengantin perempuan,
Menjemput suara-suara sumbang memperihalkan kecantikan,
Kecantikan pengantin perempuan samada asli atau kepalsuan,
Kepalsuan kerana ditutupi make up yang keterlaluan,
Parahnya lagi sehingga berubah wajah sang pengantin perempuan,
Menerima pujian melambung-lambung sampai ke bulan,
Ah! Malangnya semua itu hanya semata rekaan.

Akhawatku,

Mahukah kita hari bahagia itu menjadi hari menolak keberkatan?
Apa salahnya jika kita bersederhanaan,
Kos walimah juga semakin berkurangan,
Tiada gaun labuh kembang setaman,
Tiada  manik dan labuci berlebihan untuk menambah tarikan,
Tiada make up keterlaluan untuk menutupi kekurangan,
Bukan beerti anda tidak cantik menawan,
Cantik itu mempunyai pelbagai pandangan,
Pandangan mata hati bukan pada luaran,
Ia menjangkau segala hal yang menjadi syariat Tuhan,
Cantik apabila pakaiannya dan perhiasannya ada ketaatan,
Menutup aurat tuntutan yang tidak diabaikan,
Perhiasan pula penuh kesederhanaan,
Agar tidak kelihatan selekeh dan peminat kotoran,
Bukankah itu yang menjadi tuntutan?
Islam itu indah lagi memudahkan,
Semoga hari bahagia itu adalah hari menjemput Mawaddah wa Rahmah dari Tuhan,
Bukan hari menolak keberkatan.

Sungguh! Sederhana itu sering menyelamatkan.


:: Semoga Allah pelihara diri aku dan kamu dalam menjahui segala laranganNya dan melaksanakan segala suruhanNya...ameen ::

-berjalan tanpa henti-
~jauharah al-shiffa'~

Tuesday, 12 November 2013

Mengejar sebuah kejayaan...





Kejayaan...
bukan hanya dengan gulungan sijil,
bukan sekadar pekerjaan yang hebat,
bukan setakat banglo dan kereta mewah,
bukan dengan simpanan berjuta-juta...

Namun kejayaan juga bisa hadir dalam pelbagai cara.

Kejayaan juga apabila,
punya pasangan yang soleh/ah,
punya anak-anak yang taat kepada Allah,
punya ketenangan di dalam hati tanpa gusar dan parah...

Sungguh,
Kejayaan yang sebenar itu adalah,
Kembali kepada Allah dalam keadaan dilimpahi rahmat dan redhaNya!

Justeru,
jangan gusar andai kita tidak punya kejayaan yang dimiliki orang lain,
namun bersyukurlah dengan kejayaan yang sudah direzekikan Allah kepada kita,
kerana hakikatnya kita masih mengejar sebuah kejayaan yang sama,
yakni kejayaan meraih redha Yang Maha Esa~

Ayuh! Kita mula mengejar dan terus mengejar kejayaan yang hakiki.
Ya Rabb, rezekikan kami kejayaan kembali kepadaMu dalam keadaan penuh dengan rahmat dan redha dariMu..ameen~ :')


:: berjalan tanpa henti ::
~jauharahalshiffa'~

Thursday, 31 October 2013

SUCCESS comes from ALLAH


berapa A ko dpt?

amacam pointer?

result sem ni ko dekan ke?

^___^ soalan-soalan musim result keluar.


Kejar A atau Ilmu?


       Bilangan A tidaklah membuktikan sebanyak mana ilmu yang kita perolehi, namun pesan seorang pensyarah saya jawapan kamu dalam peperiksaan menunjukkan tahap kefahaman kamu terhadap ilmu.

       Pertamanya, ayuh kita sama-sama muhasabah niat kita belajar (terutamanya diri saya), menuntut ilmu kerana Allah atau kejar pointer@gred?

       Letakkan niat yang sebetulnya agar ilmu yang kita dapat diberkati Allah. Saya yakin, jika kita niat dengan baik kita akan berusaha dengan lebih baik. Sebab... bila kita sudah niat ingin lakukan sesuatu kerana Allah insha Allah kita akan lebih fokus dan tekun dalam melaksanakannya. Dan... dengan usaha yang baik bersama azam yang telah tekad, insha Allah kecemerlangan itu ada. Allah itu Maha Baik, setelah kita  berusaha kerana Dia, natijahnya pasti baik. Allah itu al-Rahman wa al-Rahim.

Result masih KO walaupun sudah usaha?

        Pesan Allah dalam surah Yususf ayat 87 yang maksudnya :
"... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir."
Setelah berazam untuk berjaya, kita telah berusaha, namun masih belum berjaya. Muhasabah yuk! Sudah iring usaha itu dengan tawakkal dan berdoa kepadaNya?

       Jangan kita menjadi hamba yang sombong lagi riak. Usaha kita laksanakan andai tanpa keredhaan Allah tidaklah membawa sebarang makna. Jadi, setelah berazam untuk berjaya, iringkanlah dengan tawakkal dan usaha serta doa kepadaNya.

        Namun, terkadang kita telah laksanakan semua, masih lagi kejayaan bukan buat kita. Ketahuilah bahawa Allah telah menyimpan kejayaan itu di sudut yang lain dalam kehidupan. Dalam fatrah menuntut ilmu daripada sekolah menengah hingga kini di universiti, pelbagai  mutiara syiffa' yang saya kutip daripada nasihat para guru.

"Kejayaan yang sebenar, bukanlah semata-mata berjaya didunia tapi berjaya di akhirat. Jika kamu telah berusaha, rezeki kejayaan dalam peperiksaan bukan untuk kamu, yakinlah Allah telah menyimpan kejayaan untuk kamu di sudut yang lain. Allah itu Maha Baik dan tidak akan menzalimi hambaNya"
Sebelum start paper pertama STPM dulu, guru saya ada berpesan,
"Kalau kamu semua sudah berusaha, tapi bukan cemerlang bukan rezeki kamu, jangan bersedih kerana ketahuilah menjadi seorang BAPA dan IBU kepada anak-anak yang soleh dan solehah juga adalah satu kecemerlangan yang besar" ^_^
"Life ist'n like a bed of roses." 

        Setelah berusaha sebaik dan semampu mungkin, pasti kejayaan yang dikecapi itu sesuatu yang cukup membahagiakan dan memuaskan hati. Namun, jangan kita lupa bahawa kejayaan dan kecemerlangan itu adalah datang daripada Allah. Hakikatnya kita cuma hamba yang tiada miliki apa jua tanpa izin daripada Yang Maha Pemurah.

        Walau kita telah berusaha namun tiada kejayaan yang kita rasai, yakinlah bahawa Allah telah menyimpan kejayaan itu pada suatu tempat yang lebih baik. Allah itu Maha Mengetahui dan tiada sesuatu yang Dia jadikan itu sia-sia.

        Alhamdulillah thumma alhamdulillah thumma alhamdulillah, setelah hampir 3 tahun berjuang, saya dan sahabat-sahabat direzekikan Allah dengan segulung ijazah dan gelaran graduan. Tahniah buat semua graduan konvokesyen UKM ke-41. Semoga segala ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaiknya... ameen.





TAHNIAH!

-berjalan tanpa henti-
~jauharah al-shiffa'~
     

Wednesday, 26 June 2013

Dilema Bakal Graduan


Dah tahun berapa sekarang?

      Tahun 3.

Tahun akhir?

      Ya.

Wah, seronoknya dah nak habis belajar. Apa perancangan lepas ni?

Lepas grad nak sambung master ke?

Nak kerja di mana lepas ni?

Habis belajar ni nak kahwin ke?

xxx Soalan-soalan yang kebiasaannya singgah ditelinga pelajar tahun akhir xxx

Master, Kahwin dan Kerja~

Dilemanya, yang manakah mahu di dahulukan?


Sunday, 16 June 2013

Aku akan terus setia....




       Batrisyia bersantai di pondok buatan abahnya berdekatan dengan sawah padi. Petang itu sungguh damai, angin menyapa lembut bagaikan membawa kebahagian. Subhanallah sugguh tenang!
Pandangannya pergi jauh merentas kehijauan sawah yang terbentang luas, bagai mengimbau memori semalam.

"Along...! Along...!"
   
     Lamunan Batrisyia tersentak dengan panggilan abahnya, En.Fadzly. Pada Batrisyia, lelaki yang sering mengaku dirinya biasa-biasa itu punya hati yang luar biasa.

"Ye abah."

"Jauh memandang, berangan ye long? "Usik abahnya yang sememangnya rapat dengan anak-anak.

"Haish! Abah ni. Tak ada lah, along suka tengok pemandangan macam ni. Tenang! Maha Suci Tuhan yang menciptakan seluruh alam semesta. Subhanallah... tiada tandingan."

     Abah senyum mendengarnya. Senyum penuh syukur anaknya mampu memandang alam bukan sekadar alam, tetapi melihat juga besarnya kuasa yang menciptakan alam.

Friday, 14 June 2013

Rendahkan egomu dan menangislah!



Menangislah!
Terapi hati, jangan biarkan ia mati.

Duhai diri,

Tahukah kita apa itu tangisan?
Ada apa pada sebuah tangisan?
Menangis boleh mendapatkan habuan?
Atau sekadar menghilangkan kesedihan?