Sunday, 5 January 2014

Terikat kukuh...


2013 ditinggalkan dengan penuh kenangan. Biar pahit atau manis, semuanya adalah pedoman dan panduan buat kita dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Melangkah menuju ke tahun baru masihi menandakan kita semakin dekat dengan sebuah kepastian yakni kematian yang tiada penafian. Justeru, tingakatkan amalan, jauhi larangan, terus berusaha mengejar redha Allah agar kita dijemput kelak dalam keadaan husnul khatimah.

       Bulan Disember antara bulan yang dipilih kebanyakan keluarga untuk berkumpul dan mengeratkan ukhwah sesama mereka. Begitu juga kami yang tidak membiarkan bulan ini pergi berlalu dengan kekosongan. Teratak kecil bonda kami padatkan dengan nasihat, gelak tawa, pergaduhan manja, sesi masak-memasak sehingga pening dalam gembira bonda dibuatnya. :) Terasa begitu cepat sebulan itu berlalu dengan menghimpunkan lagi kenangan dalam memori kami bersama.

       Terasa bagaikan semalam kita berkumpul lagi, bergelak tawa, berkongsi nasihat dan pendapat, bergaduh pun ada jugak... :) Namun begitu cepat masa berlalu pergi. Kita dipaksa masa untuk pulang menghadap tanggungjawab yang digalas. Biar berjauhan tapi jangan pernah kita terputus dalam rantaian doa. Semoga kalian semuanya dalam peliharaan Allah.. :')

Saudaraku,

Kita ibarat sebuah bulatan,
yang saling menyokong antara satu sama lain,
satu susah semua terasa pedihnya,
satu senang semua terasa gembiranya,

Kita ibarat harta mak abah,
harta yang tiada dijual dimana-mana,
untuk menjadi sambungan pahala mereka,
tatkala pergi meninggalkan dunia,

Kita ibarat himpunan lidi yang terikat,
diikat ketat dengan hubungan darah yang tiada putusnya,
bersatu kita dilimpah berkah,
bercerai kita adalah padah.

Kita adalah keluarga,
yang saling menasihati pada jalan kebaikan,
yang saling mengingatkan menjauhi larangan,
yang saling mendoakan biarpun berjauhan.

Semua itu kerana kita mengimpikan keredhaan Tuhan,
kita mendambakan sebuah keindahan,
Keindahan berkumpul di syurga penuh kenikmatan.


yang selalu menyayangi kalian kerana Allah,
                             adik




::berjalan tanpa henti::
jauhrahalshiffa'